Mahkamah Rayuan tetap tarikh lain keputusan rayuan pencen penjawat awam
Mahkamah Rayuan tetap tarikh lain keputusan rayuan pencen penjawat awam
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan akan menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan berhubung rayuan kerajaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan pencen penjawat awam diselaraskan mengikut formula sebelum pindaan 2013.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Lim Chong Fong bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menetapkan tarikh pengurusan kes pada 17 September ini.
Rayuan itu difailkan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi mengetepikan semakan kehakiman seorang pesara, Aminah Ahmad, yang memohon pelarasan pencen berdasarkan formula asal di bawah Akta Penyelarasan Pencen 1980.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berhujah Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membenarkan semakan kehakiman Aminah kerana isu berkenaan sudah diputuskan dalam saman pemula pada 2017 dan tidak boleh dibangkitkan semula. Beliau menegaskan semakan kehakiman itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Datuk Dr. Abd. Shukor Ahmad berhujah prosiding tersebut sah kerana kerajaan berterusan enggan menyelaraskan pencen walaupun selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2023.
Menurutnya, semakan kehakiman dan saman pemula terdahulu berbeza dari segi relif serta asas undang-undang.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman Aminah dan mengarahkan kerajaan serta JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan. Namun, pelaksanaan perintah itu ditangguhkan pada 4 Mac sementara menunggu keputusan rayuan.
Kes ini melibatkan lebih 531,000 pesara kerajaan dengan jumlah tunggakan dianggarkan mencecah RM1.7 bilion.-SAHIH.