MAHATHIR DIPANGGIL MENGHADAP AGONG
MAHATHIR DIPANGGIL MENGHADAP AGONG
KUALA LUMPUR: Parti yang masih dalam proses pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan menerima surat dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Ketua Penerangan Pro-tem Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin, berkata Pengerusi Pro-tem Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan menghadap Seri Paduka pada Khamis ini.
“Surat rasmi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong diterima pada minggu lepas lagi. Bagaimanapun waktu (untuk Dr Mahathir menghadap) belum ditentukan lagi setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Pengesahan Pejuang itu hadir selepas kedengaran desas-desus bahawa semua pemimpin parti politik di negara ini akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, dipercayai ada kaitan dengan keadaan semasa negara.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon ketika diajukan soalan sama, masing-masing menyatakan mereka tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu setakat ini.
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran pula memaklumkan parti mereka belum menerima sebarang jemputan rasmi daripada Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui mendengar desas-desus berkenaan namun tidak dapat memastikan sama ada parti itu sudah menerima surat jemputan berkenaan.
“Dengar khabar begitulah (dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong). Saya tidak ke pejabat… tak pasti sama ada (UMNO) dah dapat surat atau belum,” katanya., lapor BH ONLINE.
Berlainan pula dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meminta Bernama merujuk perkara berkenaan kepada Ahli Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
“Rujuk Khairuddin… dia mungkin tahu lebih berbanding maklumat yang kami ada,” kata Saifuddin Nasution.
Semalam, media melaporkan Khairuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Pro-tem Pejuang Wilayah Persekutuan, berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap semua pimpinan parti politik termasuk pembangkang.
Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang dianggotai pemimpin pembangkang ditubuhkan bagi mengumpul petisyen supaya darurat COVID-19 ditamatkan segera.
Pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.
Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri pada 9 Februari lalu, mengumumkan pelantikan 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.