Mahasiswa UPSI hulur bantuan psikososial, ringankan beban mangsa banjir di Kampung Sungai Muda
Foto : Ahli Persatuan Psikologi UPSI bersama-sama pegawai JKM, APM dan RELA merakamkan kenangan dengan sebahagian mangsa banjir di Kampung Sungai Muda, Slim River, Perak.
Mahasiswa UPSI hulur bantuan psikososial, ringankan beban mangsa banjir di Kampung Sungai Muda
SLIM RIVER – Mangsa banjir bukan sahaja berdepan kehilangan harta benda, malah turut mengalami kesan psikologi yang mendalam seperti trauma, kemurungan, kebimbangan melampau serta gangguan tidur akibat bencana yang melanda.
Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa berasa putus asa dan hilang keyakinan diri, justeru sokongan emosi daripada keluarga, rakan dan bantuan profesional amat diperlukan bagi membantu mereka bangkit semula.
Menyedari keperluan itu, seramai 15 mahasiswa bersama dua pensyarah daripada Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan misi sukarelawan pascabanjir di Kampung Sungai Muda, Slim River pada 30 November 2025.
Misi berkenaan bertujuan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini serta mempercepatkan proses pemulihan komuniti melalui kerja pembersihan, penyusunan semula kediaman dan sokongan awal kepada keluarga terkesan.
Pensyarah Jabatan Psikologi UPSI yang menyelaras misi itu, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin berkata, pengalaman kehilangan harta benda, pemindahan secara mendadak dan rasa tidak selamat menjadikan mangsa terdedah kepada tekanan emosi yang serius.
Menurutnya, walaupun bantuan fizikal seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian merupakan keperluan asas, aspek kesejahteraan psikologi tidak boleh diabaikan.
Sepanjang operasi, sukarelawan terlibat dalam kerja pembersihan rumah, pengalihan perabot rosak, pengasingan barangan yang masih boleh digunakan serta pembuangan lumpur dan sampah pascabanjir.
Usaha itu turut dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Balai Polis Slim Village serta jawatankuasa kampung dan penduduk setempat dan menyambut baik kehadiran mereka.
Seorang mangsa, Fatimah Yaakub, melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan, bukan sahaja dari segi fizikal malah sokongan moral.
Ketua Kampung Sungai Muda, Ismail Mat Deli berkata, penglibatan mahasiswa UPSI membantu mempercepat pemulihan serta memberi sokongan emosi kepada mangsa.
Timbalan Dekan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan menegaskan sokongan psikososial penting bagi memastikan mangsa pulih secara fizikal, emosi dan mental.-SAHIH.
