Mahasiswa Psikologi UPSI Santuni Masyarakat Kampung Menerusi Program Kesejahteraan dan Transformasi Komuniti
Foto : Dr Wan Nurul Izza Wan Husin mengendalikan sesi perkongsian santai bersama ibu bapa mengenai bahaya ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak.
Mahasiswa Psikologi UPSI Santuni Masyarakat Kampung Menerusi Program Kesejahteraan dan Transformasi Komuniti
TANJONG KARANG – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan semangat kesukarelawanan tinggi apabila turun padang menyantuni penduduk Kampung Sungai Sireh dalam Program Kesejahteraan dan Transformasi Komuniti yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.
Program anjuran Persatuan Psikologi UPSI ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ampangan Sungai Sireh, DUN Sungai Burung, Sekolah Kebangsaan Seri Gambut (SKSG), Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Pusat Transformasi Komuniti UPSI, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI (FPM UPSI), dan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI.

Sesi penyediaan pencuci mulut bersama kaum hawa yang dibimbing tenaga pengajar dari FTV UPSI.
Setiausaha Program, Hikmah Hakimien Izzati Sarmin, pelbagai aktiviti bermanfaat telah dijalankan merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, sosial dan alam sekitar, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, antara aktiviti menarik termasuk slot penyediaan pencuci mulut bersama kaum wanita, dibimbing oleh Fuad Ashriq Mohamad Farid dari Fakulti Teknikal Vokasional UPSI, dengan menu utama Tat Buah. Aktiviti ini bertujuan menggalakkan kaum wanita menjana pendapatan melalui perniagaan kecil serta mempererat hubungan silaturahim dalam komuniti.
Turut diadakan ialah sesi perkongsian keibubapaan bersama Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin dari Jabatan Psikologi UPSI. Sesi ini memberi penekanan terhadap isu ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak, serta peranan ibu bapa dalam mendidik dan mengawal penggunaan teknologi di rumah.
Bagi menghargai penglibatan penduduk kampung, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gula.
Dalam usaha membimbing generasi muda, program ini turut menganjurkan sesi “Kenali Potensi Diri dan Minat Kerjaya” yang bersifat edutainment untuk murid SK Seri Gambut. Sesi ini membantu pelajar mengenal potensi diri, membina keyakinan dan memahami pilihan kerjaya masa depan. Guru Besar SKSG, Puan Azizah Ajis, turut hadir memberi sokongan.

Sesi penyediaan pencuci mulut bersama kaum hawa yang dibimbing tenaga pengajar dari FTV UPSI.
Selain itu, aktiviti kesedaran penjagaan alam sekitar turut dijalankan melalui gotong-royong membersihkan tali air yang dicemari bahan pertanian dan sampah sarap. Turut serta dalam aktiviti ini ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM UPSI.
Menambahkan kemeriahan, perlawanan sukan persahabatan antara belia kampung dan mahasiswa UPSI turut diadakan sebagai platform menjalin ukhuwah dan membina semangat kesukanan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penyelaras DUN Sungai Burong, Tuan Maruwan Ahmad, di Dewan Agrotourism Sungai Sireh dengan kehadiran ramai penduduk kampung.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kesejahteraan komuniti dan memperkukuhkan hubungan erat antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat.-SAHIH.