MAHASISWA PERLU AKTIF DALAM KOPERASI DI BAWAH DASAR KEUSAHAWAN NASIONAL 2030
MAHASISWA PERLU AKTIF DALAM KOPERASI DI BAWAH DASAR KEUSAHAWAN NASIONAL 2030
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization, Datuk Abdul Fattah Abdullah mahukan penglibatan mahasiswa dalam koperasi siswa yang mempunyai hubungan dengan enam teras strategik yang telah dirangka bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hanya terdapat 208 buah koperasi siswa dengan keanggotaan seramai 161,662 orang pada tahun 2020. Kementerian Pengajian Tinggi merekodkan jumlah Institut Pengajian Tinggi Awam sebanyak 20 buah manakala IPT Swasta (437), kolej komuniti (104) dan politeknik (36) pada tahun yang sama.
“Ini membuktikan masih banyak IPTA, IPTS, kolej dan politeknik di negara ini yang belum menubuhkan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada webinar ‘Hala Tuju Gerakan Koperasi Siswa Institut Pengajian Tinggi’ yang diadakan melalui platform Zoom pada 10 September 2021 dan dihadiri oleh seramai 145 peserta.
Webinar ‘Hala Tuju Gerakan Koperasi Siswa Institut Pengajian Tinggi’ menampilkan Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik sebagai moderator dan barisan tiga panel yang mempunyai pengalaman luas dalam topik ini.
Barisan tiga panel terdiri daripada Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Pembangunan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Azam Sulaiman dan Pengerusi Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad, Muhammad Syahid Aiman Muhammad Bazlan.
Hadir sama ke webinar ialah Naib Presiden ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya.
Sementara itu, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dalam perkongsiannya menyatakan matlamat penubuhan koperasi siswa mestilah berlandaskan objektif kemenjadian mahasiswa.
“Kemenjadian mahasiswa tidak boleh diukur dengan berdasarkan pencapaian kebolehpasaran graduan semata-mata, tetapi juga graduan mencipta peluang pekerjaan untuk mereka sendiri dan memberikan peluang pekerjaan kepada orang ramai,” katanya.
Shaharuddin turut menyatakan harapannya agar koperasi siswa memainkan peranan yang lebih agresif dalam membantu menjayakan rangka kerja Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 – 2025.
Manakala Azam Sulaiman, selain memenuhi keperluan anggota seperti membuka kedai dobi layan diri, kedai runcit dan kedai alat tulis, koperasi siswa turut berperanan membantu anggota yang menjalankan perniagaan sendiri, antara intipati perkongsiannya.
“Terdapat anggota yang merupakan usahawan, maka koperasi boleh bantu dengan memasarkan produk atau perkhidmatan mereka di kedai-kedai milik koperasi,”katanya.
Muhammad Syahid Aiman pula berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan koperasi siswa tidak begitu mendapat sambutan kerana pendekatan yang tidak efektif untuk meyakinkan mahasiswa supaya menjadi anggota.
Menurut beliau, koperasi perlu mengkategorikan mahasiswa kepada tiga golongan iaitu founder yang mempunyai perniagaan sendiri; joiner (baru berjinak-jinak dalam perniagaan) dan investor (mahu melabur dalam mana-mana perniagaan).
“Apabila koperasi dapat mengenal pasti tiga kategori ini, maka mereka tahu pendekatan yang sesuai untuk digunakan bagi mengajak mahasiswa menyertai koperasi,” katanya.SAHIH.