Mahasiswa manfaat minggu suai kenal
Foto : Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi UPSI dan barisan kepimpinan MPP Sesi 2023/2024.
Mahasiswa manfaat minggu suai kenal
MINGGU Suai Kenal tetap akan diadakan di universiti kerana manfaatnya yang besar kepada mahasiswa yang baru melangkah masuk ke Menara Gading.
Program seumpamanya memberi peluang kepada mahasiswa baharu saling mengenali dan sangat membantu dalam meneruskan pengajian.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ketika berkongsi pengalaman silamnya ketika memasuki universiti sempena program ‘Catching Up with Doc Zam’, di Dewan Muallim di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.
“Ketika saya belajar dahulu, ada rakan daripada keluarga susah yang memiliki sifat malu yang tinggi, saya lihat dia pergi kantin membeli nasi dan kuah sahaja kerana kesusahan.
“Oleh itu, melalui suai kenal boleh membantu kita kenal mengenali sesama sendiri dan boleh membantu serba sedikit dari kehidupan seharian dan juga dalam pengajian,” katanya.
Katanya, kisah benar itu mendorong beliau merancang pelbagai pendekatan kebajikan untuk membantu mahasiswa daripada keluarga susah dengan pelbagai pendekatan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewujudkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu mahasiswa yang berada dalam kesusahan dan menjaga kebajikan mereka di seluruh negara.
“Diakui UPSI adalah antara universiti yang paling aktif menjayakan program mobiliti pelajar dan ini antara perkara utama dari aspek pengantarabangsaan universiti.
“Selain itu memberikan peluang kepada mahasiswa memahami hala tuju pendidikan negara, malah memupuk hubungan lebih rapat antara pemimpin pendidikan dan generasi masa depan,” katanya.
Katanya, seperti Program ‘Catching Up with Doc Zam’ menjadi medan untuk mahasiswa meluahkan pandangan dan isu yang mereka hadapi sewaktu belajar.
Amirul Haiqal Amiruddin Baki mewakili Majlis Perwakilan pelajar (MPP) menerima Geran Aktiviti MPP bernilai RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti pelajar di UPSI selain bantuan pendidikan berjumlah RM25,000 untuk pelajar yang memerlukan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan zakat berjumlah RM400,000 oleh Pengarah PLUS, Datuk Nik Arina Nik Jaafar dan RM350,000 disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, iaitu sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR Zakat) untuk program pembangunan pelajar UPSI.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya, berkata kegigihan Dr Zambry daripada anak seorang nelayan mengharungi pengajian hingga berjaya dalam dunia politik perlu menjadi contoh kepada mahasiswa UPSI.
Prof Md Amin berkata, itu adalah simbol komitmen korporat terhadap pendidikan dan kebajikan mahasiswa, menzahirkan sinergi antara sektor pendidikan dan industri.-SAHIH.