MACAU SCAM LABUR TUNAI
Berita Nasional/Jenayah
MACAU SCAM LABUR TUNAI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sindiket Macau Scam akan melabur wang tunai dalam syarikat milik ahli perniagaan dan menjadi antara pemegang saham syarikat berkenaan.
Mereka juga dikatakan akan memberikan wang hasil penipuan itu kepada syarikat pinjaman wang atau Along serta sindiket judi haram sebagai antara cara untuk mencuci wang itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata, keuntungan hasil pelaburan di syarikat itu akan diterima semula sindiket berkenaan.
“Mereka ini melakukan kegiatan haram, tetapi bagaimana mahu mencuci wang itu… di sinilah (melabur dalam syarikat) mereka akan salurkan wang itu. Mereka beri wang tunai dan ada dalam keadaan tertentu mereka menjadi pemilik saham bagi mendapatkan bayaran balik pelaburan itu.
“Sekiranya kita lihat cara mereka (melabur dalam syarikat), ia nampak halal tetapi dana itu sebenarnya hasil penipuan terhadap ramai rakyat Malaysia,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot SPRM 360 di MACCfm.
Azam turut mendedahkan, sindiket itu juga akan mewujudkan beratus-ratus syarikat dummy dalam proses mengubah wang terbabit.
Oleh demikian, beliau berkata pihak yang mempunyai maklumat dalam isu itu supaya menghubungi SPRM dan akan dijadikan saksi penting kes berkenaan.
“Sekiranya beri maklumat, keselamatan mereka akan dijamin sepenuhnya mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Undang-undang negara akan melindungi identiti mereka ini,” katanya.
Azam berkata, maklumat itu boleh disalurkan kepada pegawai SPRM itu PPj Asrul di talian 019-3126020; PPj Rohaizi (013-9400200) dan Psk Sabri (017-2582415).