Maahad Tahfiz Bidayatul, Ranau bakal berwajah baharu
Foto atas : PBH terpaksa menggunakan surau baharu dalam proses akhir pembinaan untuk melakukan aktiviti keagamaan seperti solat tarawih dan Hari Raya Aidilfitri.
Maahad Tahfiz Bidayatul, Ranau bakal berwajah baharu
Maahad Tahfiz Pondok Bidayatul Hidayah (PBH), Kampung Kundasang Lama, Ranau, Sabah bimbang keselamatan pelajarnya dan terus menggunakan bangunan pondok serta surau yang sudah uzur demi kelangsungan pelajarnya untuk menimba ilmu.
Oleh kerana berlaku kebakaran keseluruhan pusat pengajian agama itu telah musnah bulan Mac lalu proses pembelajaran tertangguh kerana ketiadaan kemudahan di pusat itu.
Pengerusinya, Mustafa Asad, berkata bencana yang tidak dijangka itu adalah antara kebimbangan kepada pihak pengurusan selama ini memandangkan bangunan PBH termasuk surau dibina lebih enam tahun lalu sudah semakin uzur bagaimanapun terpaksa digunakan juga menantikan proses pembinaan surau baharu disiapkan.
Katanya, pihak pengurusan bersyukur semua pelajar dan tenaga pengajar berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu tanpa sebarang kehilangan nyawa atau perkara lebih buruk berlaku.
“Kami berterima kasih kepada penduduk Kampung Kundasang Lama yang bergading bahu untuk berusaha memadam api kebakaran itu sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Ranau tiba untuk melakukan kerja memadamkan kebakaran.
“Daripada maklumat pihak berkuasa, lintar pintas menjadi punca kebakaran yang menyebabkan kerugian kira-kira RM400,000 bagaimanapun bangunan surau baharu yang dalam proses pembinaan untuk disiapkan selamat dalam bencana itu,” katanya.
Mustafa berkata, PBH akan terus beroperasi dan kini dalam fasa pemulihan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai dugaan, Maahad Tahfiz itu sudah berjaya melahirkan imam muda untuk beberapa daerah terpencil di pedalaman Sabah.
“Pada 7 Ramadan lalu pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan operasi PBH dteruskan seperti biasa menggunakan surau baharu untuk solat tarawih dan hari raya yang dalam proses akhir pembinaan walaupun terpaksa menggunakan lampu solar.
“Serentak itu PBH melancarkan kempen mengumpul dana bagi menampung kos kerja-kerja pemulihan termasuk membiayai kos pendawaian elektrik surau baharu dan sebagainya seperti pembinaan tandas, bilik air serta bilik pelajar yang akan mula mendaftar kemasukan ke pusat tahfiz pada Mei 2023 ini, “ katanya.
Katanya, selain itu beberapa kontraktor memberi kerjasama yang baik termasuk menggenakan kos pembinaan yang berpatutan bagi membina asrama baharu pelajar dan sebagainya sebagai tanda sokongan membantu PBH beroperasi semula.
“Perjalanan PBH masih jauh dalam usaha melahirkan generasi muda berilmu dan berpengetahuan tinggi dalam agama Islam yang menjadi keazaman setiap tenaga pengajar bagi meneruskan legasi melahirkan generasi al-Quran bertaqwa di Sabah,” katanya.
Mustafa berkata, surau baharu yang dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas itu akan turut digunakan oleh komuniti sekitar termasuk penduduk Kampung Kundasang Lama untuk solat berjemaah serta mengikuti pengajian agama bersama-sama pelajar PBH.
“PBH berharap pelbagai pihak sudi membantu menghulurkan sumbangan atau menginfak dana bagi memastikan kerja pembangunan semula Maahad Tahhfiz selepas kebakaran itu lancar dilaksanakan.
“Selepas diviralkan mengenai kebakaran PBH ini dalam media sosial pelbagai pihak sudah tampil menghulurkan sumbangan serta derma selain datang secara berkumpulan untuk melihat sendiri kesan bencana itu dan kemusnahan yang dialami,” katanya.-SAHIH.