LULUSAN UNIVERSITI BERGELUMANG DENGAN LUMPUR
LULUSAN UNIVERSITI BERGELUMANG DENGAN LUMPUR
JERANTUT : Gadis Kampung Gintong, dekat sini, Khadijah Shamsudin, 31, merupakan graduan universiti tempatan sudah serik menunggu lamaran pekerjaan daripada sektor kerajaan, kini mula mengalih peluang membabitkan diri dalam bidang pertanian.
Khadijah merupakan pemegang Ijazah Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, setelah hampir empat tahun mencuba melamar pekerjaan di sektor kerajaan, tetapi hampa belaka sehingga dia mula bertekad mencuba pekerjaan di bidang pertanian.
“Saya tidak pun menyesal apabila gagal menjadi penjawat awam dan swasta lantas bertekad menumpukan bidang pertanian di tanah milik keluarga.
“Setiap kali melihat petani membanting tulang, mengerah keringat dan bermain lumpur di sawah kampung ini terdetik di hati saya untuk mencuba bidang ini yang turut mendapat sokongan daripada kedua ibu dan bapanya” katanya kepada SAHIH di Kampung Gintong, Jerantut semalam.
Katanya, dia terus menyimpan ijazah dan ‘resume’ di dalam almari dan mulalah bermain dengan lumpur dan dikejar lintah setelah menjejak kaki dalam sawah padi.
“Saya mula mengusahakan tanah yang disewa seluas lapan hektar milik keluarga terdekat dengan harapan untuk mencipta lembaran baharu sejarah hidup sebagai petani, pada hari pertama saya sudah dicabar oleh pesawah di situ yang juga dalam kalangan saudara maranya supaya mengendalikan (memandu) traktor.
“Saya sahut cabaran mereka dan mula belajar memandu traktor dengan bantuan tunjuk ajar beberapa orang petani di sini lagipun sangat berminat apabila kerap kali melihat jentera pembajak berada di tengah sawah sebelum ini, “katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik berkata, berkat tunjuk ajar serta keyakinan, saya mampu menguasai pemanduan jentera pembajak ini termasuk jenis Kubota dalam tempoh seminggu dan mulalah bersemangat untuk meneruskan kerja,” katanya.
“Kini saya tidak kekok lagi dan dalam tempoh dua minggu semua kawasan sawah telah selesai dibajak secara bergilir-gilir mengendalikan traktor dengan dua orang pemandu lelaki.
“Saya sudah memperoleh kemahiran mengendalikan traktor termasuk pembajak jenis Kubota dan kini beralih pula mempelajari teknik menyembur benih padi MR219 yang akan bermula minggu ini dan rutin seterusnya, menguruskan pengairan, pembajaan dan sehinggalah penuaian hasil (padi) nanti,” katanya.
Lulusan graduan universiti itu berkata, selama dua minggu kakinya berendam lumpur di bawah panas terik matahari dan melihat lintah menghisap darah di betis seolah-olah seperti bermimpi, tetapi sebenarnya berada di alam nyata sebagai seorang petani.
“Saya bercita-cita untuk menjadi petani moden dan selepas ini ingin menyertai kursus mengenai pengurusan tanaman padi dan melanjutkan kemahiran mengendalikan jentera pembajak dan menuai (harvesting) termasuk mengambil lesen bagi persediaan musim akan datang.
“Kepada rakan siswazah kembalilah ke kampung kerana banyak peluang pekerjaan dalam bidang pertanian dan perniagaan di samping tanamkan minat, tekad serta kesungguhan dengan meneroka sesuatu kemahiran sebagai pelantar untuk kita berjaya,” katanya.-SAHIH.