LORI TRELER TERBALIK DI LEBUH RAYA KLK
LORI TRELER TERBALIK DI LEBUH RAYA KLK
BENTONG : Sebuah lori treler dengan muatan simen dipandu oleh seorang lelaki berusia 32 tahun terbabas dan terbalik melanggar tembok batu dan mengalami kerosakan di keseluruhan bahagian hadapan kepala dan ekor lori itu di Kilometer (KM) 43, Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) pada jam 2.25 petang tadi.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, lori treler itu yang bergerak di lorong kiri, tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik melanggar tembok batu di sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu kenderaan jenis Scania itu telah mengalami kecederaan ringan dan dibawa untuk menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Bentong.

“Manakala tempat kejadian hanya dibuka satu lorong sebelah kanan untuk lalulintas kerana kerja pembersihan muatan yang jatuh dari lori treler dilakukan oleh pihak penyelenggara Lebuhraya,” katanya.
Katanya, kes itu di siasat di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987, pihak polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Zaiham menasihatkan orang ramai yang memandu kenderaan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas, terutamanya had laju yang ditetapkan serta pastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik.