LORI MISI BANTUAN TERBABAS DI GENTING HIGHLANDS
LORI MISI BANTUAN TERBABAS DI GENTING HIGHLANDS
BENTONG: Pemandu dan pembantu sebuah lori terbabas dalam kemalangan jalanraya di Kilometer (KM) 17.3, Jalan Genting Highlands menghala ke Kuantan dalam Misi Bantuan Banjir di Pahang pada jam 10.10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lori jenis Bonded satu tan telah terbabas ketika melalui satu selekoh menuruni bukit, setiba di tempat kejadian lori yang dipandu gagal dikawal lalu terbabas di bahu jalan.
“Kesan daripada kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala lori tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan sahaja.
“Hasil siasatan mendapati lori tersebut dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berumur 44 tahun bersama seorang pembantunya dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu menuju ke Kerdau, Temerloh untuk menghantar misi bantuan banjir,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987, pihak polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Zaiham menasihatkan orang ramai yang memandu dan menunggang kenderaan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan sentiasa mematuhi peraturan lalulintas yang telah ditetapkan serta pastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik.