LORI ANGKUT REMPUH PAPAN TANDA JALAN
LORI ANGKUT REMPUH PAPAN TANDA JALAN
BALIK PULAU – Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila kenderaan berat yang dipandunya merempuh papan tanda jalan sebelum terjatuh menghempap bahagian atas lori tersebut di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu menghala ke Batu Maung di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi, mangsa berusia 54 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati bahagian pengangkut kenderaan itu tiba-tiba terangkat sendiri semasa melintasi papan tanda besar yang berada di bahagian atas berkenaan, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Menurutnya, kemalangan yang berlaku tidak melibatkan kenderaan lain yang melalui laluan berkenaan termasuk tiada pengguna jalan raya lain yang tercedera.
“Pemandu lori berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan namun dia dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala lori terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk diperiksa,” katanya.