Longkang tanpa penutup jadi ‘perangkap’ di Bandar Inderapura
Longkang tanpa penutup jadi ‘perangkap’ di Bandar Inderapura
JERANTUT: Jerantut yang pernah disenaraikan antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada 2025 serta menjadi persinggahan pelancong dari seluruh dunia ke Taman Negara Kuala Tahan, seharusnya memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan keselesaan orang ramai.
Namun, sebuah longkang yang tidak dipasang penutup sepenuhnya berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Baharu Inderapura di sini, disifatkan sebagai ‘perangkap berbahaya’ kepada pengunjung yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.
Tinjauan mendapati longkang itu sepatutnya ditutup sepenuhnya, namun terdapat bahagian sepanjang hampir dua meter dibiarkan terbuka dengan kedalaman kira-kira satu meter di laluan pejalan kaki menuju ke premis berhampiran.
Seorang peniaga, Amutha Narayan, 49, berkata ketiadaan penutup longkang berkenaan amat membahayakan, khususnya kepada warga emas dan kanak-kanak yang sering turun dari kenderaan untuk berbelanja di kawasan itu.
“Saya pernah menyaksikan seorang warga emas dan seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang ini selepas turun dari kenderaan sehingga pakaian mereka dicemari air kotor dan menggemparkan orang ramai.
“Keluasan bahagian longkang yang tidak bertutup itu tidaklah besar dan kos untuk menutupnya juga dipercayai tidak mahal. Justeru, pihak berwajib disaran mengambil tindakan segera demi keselamatan awam,” katanya ketika ditemui di Bandar Baharu Inderapura di sini.
Sementara itu, seorang penduduk Jerantut, Rosmani Sulaiman, 61, melahirkan rasa hairan apabila masalah berkenaan dibiarkan berlarutan walaupun kawasan itu sering menjadi tumpuan orang ramai yang berurusan di beberapa kedai berhampiran.
“Sejak tahun lalu lagi longkang ini tidak bertutup. Sehingga hari ini, orang ramai terpaksa mengelak dan lebih berhati-hati setiap kali melintas ke premis berhampiran,” katanya.
Menurutnya, status Jerantut sebagai antara bandar paling bahagia di negara ini serta pintu masuk utama pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan seharusnya seiring dengan tahap penyelenggaraan kemudahan asas yang lebih baik demi menjamin keselamatan dan keselesaan orang ramai.-SAHIH.
