LOKMAN ADAM DITAHAN, DIREMAN SEHARI
DITAHAN PEGAWAI & ANGGOTA POLIS KETIKA SESI FB LIVE
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan kerana melakukan tindakan mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan jelik terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
ASTRO Awani melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata tangkapan dibuat pada Ahad, kira-kira jam 11 malam dan merampas gajet digunakan untuk memuat naik video tersebut.
PENGARAH JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed
“Permohonan reman telah dibuat dan dibenarkan selama satu hari, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhimatan rangkaian.
Lokman turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan.
Tegas Huzir, pihaknya akan menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak.
BEKAS Ahli MT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam
Lokman ditahan polis ketika sedang melakukan sesi Facebook Live di sebuah restoran, di sini.
Lokman menerusi live streaming bertajuk Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul? itu turut memaklumkan didatangi pegawai polis sebelum menamatkan sesi tersebut.