LIPIS KEKAL BANDAR PALING BAHAGIA, PERLU KESTABILAN POLITIK DAN EKONOMI
LIPIS KEKAL BANDAR PALING BAHAGIA, PERLU KESTABILAN POLITIK DAN EKONOMI
LIPIS : Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk mengekalkan daerah Lipis sebagai antara bandar paling bahagia di Malaysia menerusi pelaksanaan Draf Rancangan Tempatan Lipis 2035 (RT Lipis 2035) yang dirangka secara menyeluruh bagi merancang pembangunan bersepadu serta mapan di kawasan itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata usaha itu memerlukan sokongan padu daripada semua pihak termasuk rakyat, agensi kerajaan serta pihak swasta bagi memastikan perancangan tersebut berjaya dilaksanakan.
Beliau berkata, kestabilan politik dan ekonomi menjadi faktor penting yang akan menentukan keberkesanan pelaksanaan RT Lipis 2035 dalam memastikan kesejahteraan serta kemajuan rakyat terus meningkat.
“Lipis kini sudah diiktiraf sebagai antara bandar paling bahagia bersama Raub. Untuk kekal pada tahap itu, kita tidak boleh berada dalam zon selesa, sebaliknya perlu terus mempertingkatkan kualiti hidup dan persekitaran daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Lipis 2035, di sini, hari ini.
Menurutnya, RT Lipis 2035 memberi tumpuan terhadap lima pelan pembangunan utama, 12 sektor strategik, 29 hala tuju pembangunan, 145 cadangan projek, 87 projek sokongan, 45 projek “quick win” dan 13 projek berimpak tinggi.
“Antara tumpuan ialah menjadikan Koyan Agro City dan Benta Bandar Perwira, selain membangunkan kawasan berpotensi seperti sungai dan agro park bagi merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, semua cadangan pembangunan itu perlu diteliti dan diulas oleh rakyat dalam tempoh sebulan sebelum diwartakan secara rasmi.
“Kita buka ruang kepada orang ramai untuk memberi pandangan dan cadangan supaya rancangan ini benar-benar memenuhi keperluan setempat,” katanya sambil menegaskan bahawa kestabilan politik adalah syarat utama menarik pelaburan luar.
Menurutnya, negeri dan negara perlu mengekalkan kestabilan kerana pelabur hanya akan datang jika yakin terhadap keutuhan ekonomi serta tadbir urus kerajaan yang stabil.
“Kalau politik tidak stabil, pelabur tak datang. Bila tak ada pelabur, macam mana kita nak jana pendapatan? Sebab itu kita mesti bergerak bersama-sama,” katanya.-SAHIH
—