LIGA M MASIH ADA PEMINAT
LIGA M MASIH ADA PEMINAT
KUALA LUMPUR: Kemampuan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menarik jumlah tajaan sebanyak RM33.428 juta bagi saingan musim ini ketika situasi pandemik COVID-19 masih tidak menentu membuktikan Liga Malaysia (Liga M) ada nilai yang tinggi di kaca mata penaja.
Walaupun buat masa ini kehadiran penonton ke stadium masih tidak dibenarkan, ia tidak menghalang MFL dalam mempengaruhi penaja berpotensi untuk membantu MFL bagi menjayakan Liga M 2021.
GAMBAR HIASAN
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam menyifatkan jumlah yang berjaya diperoleh MFL adalah satu jumlah yang baik dalam situasi ekonomi mencabar.
Malah, beliau menyifatkan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai penyelamat selepas berjaya mendapatkan satu tajaan yang mencukupi bagi memastikan Liga M tetap bernafas.
“Semua orang risau mengenai penajaan Liga M dan tidak pasti sama ada MFL mampu atau tidak bagi menanggung kos liga pada musim ini kerana membabitkan jumlah dana yang besar.
“Namun berdasarkan pengumuman yang dibuat Presiden MFL, bagi saya itu satu jumlah yang cukup baik bagi meneruskan kelangsungan Liga M.
“Kelab juga kena mainkan peranan tersendiri serta tidak boleh mengharapkan bantuan daripada MFL semata-mata terutama dalam hak penyiaran dan perlu ada inisiatif dalam menjana kewangan,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu, bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, apa yang dicapai oleh MFL itu wajar dicontohi oleh pasukan bertanding agar tidak berputus asa dalam soal mendapatkan penajaan.
“Bagi saya, nilai ini adalah sesuatu yang tinggi jika hendak dilihat situasi pada masa kini dan apabila Datuk Hamidin mengumumkan jumlah itu pada sidang media, beliau memang yakin dengan angka berkenaan.
“Beliau berjaya melakukan tugas yang baik dalam soal ini sebagai Presiden MFL dan mungkin pihak lain kena belajar sesuatu terutama pasukan kelab dalam soal mencari penaja,” katanya.