LIGA M BUKAN ‘LIGA PETANI’
Berita Sukan
LIGA M BUKAN ‘LIGA PETANI’
KUALA LUMPUR: Adakah Liga Malaysia (Liga M) kini boleh dianggap sebagai Liga Petani selepas hanya satu pasukan mampu merangkul kejuaraan dan pasukan lain terus ketinggalan apabila sekadar memburu gelaran naib juara?
Ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berada di ambang kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dan situasi ini menyaksikan dominasi mereka dalam saingan domestik terus gagal dicabar mana-mana pasukan.
Malah, dengan penswastaan pasukan bermula musim depan, timbul persoalan jika situasi itu akan terus melebarkan jurang antara pasukan yang mampu berbelanja besar dengan pasukan yang perlu bekerja dengan bajet yang terhad.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan kemajuan bola sepak di negara ini sepatutnya tidak terikat dengan pendapatan ataupun perbelanjaan sesebuah pasukan.
Jelasnya, jurang yang dapat disaksikan ketika ini bukanlah kerana gaji ataupun perbelanjaan tetapi ia lebih kepada jurang aspek teknikal yang tidaklah begitu besar dan mampu untuk ‘dikejar’ pasukan lain menerusi perancangan yang lebih strategik dan efektif.
“Industri kita sedang membangun dan bola sepak kita pun berada dalam proses transformasi. Kalau ada pelaburan daripada segi latihan dan infrastruktur, jurang perbelanjaan itu tidak besar kerana ia ditunjukkan dengan persembahan di atas padang.
“Jadi, kalau kita lihat jurang antara JDT dengan pasukan lain, saya boleh kata sendiri ia bukanlah jurang duit tetapi jurang bola sepak yang mana ia membabitkan aspek seperti pelaburan, infrastruktur, nutrisi, sains sukan dan sebagainya,” katanya.
Mengambil contoh UiTM FC, Stuart menjelaskan apa yang dilakukan pasukan itu ketika ini memberi gambaran yang terbaik terhadap apa yang boleh dicapai sesebuah pasukan sekiranya mereka bijak menggunakan sumber yang ada sekalipun tidak memiliki dana yang besar.
“Kita tengok UiTM FC yang menggunakan infrastruktur universiti, kepakaran sains sukan dan teknologi yang mereka ada. Saya rasa setiap pasukan ada kekuatan dan kelemahan sendiri.
“Pasukan seperti UiTM FC menggunakan kekuatan mereka untuk merealisasikan perbezaan atas padang walaupun ada kekurangan daripada segi bajet dan kemampuan lain.
“Selepas ini dengan penswastaan pasukan, mereka boleh bekerjasama dengan lebih banyak pihak contohnya dengan universiti tempatan untuk jangka masa panjang seperti yang dilakukan Liverpool yang bekerjasama dengan Universiti John Moores,” katanya.
Sumber- Berita Harian