Libat urus FELDA untuk kemudahan semua
Libat urus FELDA untuk kemudahan semua
KUANTAN – Satu sesi libat urus antara pihak ibu pejabat FELDA bersama Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam diadakan, hari ini.
Sesi itu berlangsung di pejabat Exco di Wisma Sri Pahang, dekat bandar raya Kuantan.
Berkongsi mengenai sesi berkenaan, Amizar berharap ia dapat membuka jalan untuk mempermudahkan urusan antara kerajaan Pahang dan FELDA.
“Hari ini saya dikunjungi wakil Jabatan Pengurusan Aset dari Ibu Pejabat FELDA dan pembekal.
“Ia bagi membincangkan beberapa perkara berkenaan pelan kerja FELDA dan Kerajaan Negeri Pahang.
“Semoga dipermudahkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sejurus sesi libat urus itu, Amizar meneruskan program rasminya sebagai ADUN Pelangai dengan menghadiri satu pertemuan bersama penduduk di Kampung Shafie, dekat Simpang Pelangai, Bentong.
Difahamkan pertemuan itu yang turut dihadiri wakil dari pejabat veterinar Bentong, adalah bagi berbincang berkaitan tindakan segelintir pemilik lembu membiarkan ternakan mereka ‘lepas-bebas’ hingga mengakibatkan kemalangan.
“Banyak perkara dibincangkan mengenai isu lembu dan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya.
“Isu dah lama, selalu berlaku dan tidak pernah selesai.
“Kita buat keputusan hari ini, selesai hari ini juga,” katanya. – SAHIH