LGM SEDIA LATIH PEKERJA INDUSTRI SARUNG TANGAN GETAH
LGM SEDIA LATIH PEKERJA INDUSTRI SARUNG TANGAN GETAH
LANGKAWI: Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedia melatih 10,000 pekerja tempatan di Akademi Hevea Malaysia Langkawi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri sarung tangan getah negara.
Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata akademi tersebut yang lengkap dengan pusat latihan dan penginapan mampu memenuhi keperluan itu dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, anak anak muda tempatan lepasan sekolah boleh mengikuti kursus dua bulan yang ditawarkan oleh LGM iaitu sebulan teori dan sebulan pratikal di kilang berkaitan dan mereka yang mengikuti kusrus turut diberi elaun.
“Apa yang menarik semua pelatih tempatan itu akan ditawarkan bekerja di kilang sarung tangan terbabit dengan gaji permulaan RM 1600 sebulan selain disediakan kemudahan tempat tinggal.
” Anak tempatan lepasan sekolah dan belia menganggur perlu merebut peluang ini terutamanya ketika pandemik Covid 19 ini kerana industri
memerlukan 25,000 pekerja tambahan, susulan permintaan tinggi di seluruh dunia di tengah-tengah penularan COVID-19 yang belum berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas
mengadakan program Sembang Getah Di Warung bersama pekebun kecil getah di Pulau Tuba hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Beliau berkata, LGM turut mendapat kerjasama Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi menyokong keperluan 34.7 peratus tenaga kerja baharu tempatan dalam industri sarung tangan getah negara.
Ahmad Nazlan berkata, LGM terus komited untuk membantu industri sarung tangan getah negara dengan melatih lebih ramai anak muda di akademi miliknya, memenuhi keperluan lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.
Katanya, produk sarung tangan getah menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara, dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia.
“Penularan pandemik sejak tahun lalu telah memberi kesan positif industri sarung tangan getah apabila eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu telah meningkat 73.9 peratus dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara,” katanya.
Katanya kita mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor hiliran getah terutama untuk sarung tangan getah,” katanya.
Ketika ini, Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dan dijangka akan terus kekal sebagainya pengeluar utama.- SAHIH