LESEN MEMANDU DAN CUKAI JALAN YANG TAMAT TEMPOH BOLEH GUNA SEHINGGA 31 DISEMBER 2021
LESEN MEMANDU DAN CUKAI JALAN YANG TAMAT TEMPOH BOLEH GUNA SEHINGGA 31 DISEMBER 2021
PUTRAJAYA: Orang ramai yang memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang tamat tempoh berpeluang menggunakannya sehingga 31 Disember ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu telah dibuat, mana-mana pemilik LKM dan LMM dan LKM yang tamat tempoh boleh menggunakannya dan tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga akhir tahun ini.
Katanya, namun, pemilik LKM yang tamat tempoh perlu memastikan kenderaan masing-masing mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan, oleh itu orang ramai kena membeli insurance bertujuan melindungi pemilik kenderaan dan juga pihak pengguna jalan yang lain.
“Pengoperasian semula kaunter JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap untuk berurusan di kaunter JPJ.
“Pihak kami mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai menerusi pengoperasian semula kaunter JPJ di seluruh negara dan juga rakan strategik JPJ iaitu Puspakom bagi semua urusan dengan kapasiti 100 peratus secara walk-in mulai 6 September ini, “ katanya di sidang media di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya pada Jumaat.
Katanya, pada masa yang sama, individu yang hadir perlu menunjukkan status Risiko Rendah Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.
“Pembukaan kaunter JPJ nanti dijangka akan meningkatkan jumlah pengunjung ekoran berlaku tunggakan transaksi sepanjang tempoh pelanjutan.
“Dianggarkan terdapat kira-kira 32 juta kenderaan berdaftar dengan lebih 20 juta daripada jumlah itu adalah kenderaan aktif, manakala 15.8 juta lesen memandu direkodkan di seluruh negara,” katanya.-SAHIH.