Lembu ragut nyawa pelajar orang asli
Lembu ragut nyawa pelajar orang asli
PEKAN: Gara-gara sekawan lembu melintas jalan, seorang pelajar orang asli maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas melanggar haiwan berkenaan lalu bertembung dengan sebuah kereta.
Kejadian kira-kira jam 3.15 petang semalam di Kilometer 5, Jalan Chini – Kuantan, di sini, itu turut menyebabkan dua rakan mangsa yang menaiki motosikal berasingan cedera ringan.
Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa dikenali sebagai Arizal Arifin, 17, merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini Timur serta berasal dari Kampung Patah Jelutong, di sini.
“Sebelum kejadian, mangsa menunggang motosikal dari arah Kuantan menghala ke Chini manakala dua rakannya masing-masing berusia 20 tahun menunggang sebuah lagi motosikal.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dan rakannya tidak sempat mengelak sekumpulan lembu yang melintas jalan lalu terlanggar haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 34 tahun yang datang dari arah Chini.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala dua rakannya hanya cedera ringan dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati jalan terbabit lurus dan cuaca cerah namun siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SAHIH.