LEMBU MELINTAS, PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DI JERANTUT
LEMBU MELINTAS, PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DI JERANTUT
JERANTUT, – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor lembu dalam kejadian di Kilometer 6, Jalan Jerantut – Maran, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, mangsa, Wan Taufiq Haikal, 23, sedang dalam perjalanan dari Maran menuju ke bandar Jerantut apabila motosikal Yamaha 135LC yang ditungganginya melanggar lembu yang tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 pagi. Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap mereka yang didapati bersalah menyebabkan kematian akibat kecuaian ketika memandu.
Beliau turut menasihatkan para pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, terutama di kawasan yang sering menjadi laluan haiwan ternakan pada waktu malam.
“Saya juga ingin mengingatkan pemilik haiwan ternakan agar lebih bertanggungjawab dan memastikan haiwan mereka tidak dibiarkan berkeliaran di jalan raya kerana ia boleh mengundang kemalangan yang meragut nyawa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Balai Polis Jerantut bagi membantu siasatan.-SAHIH