LEMAS KETIKA MANDI BAWAH JAMBATAN
LEMAS KETIKA MANDI BAWAH JAMBATAN
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemukan lemas dipercayai semasa mandi di bawah jambatan di Jalan Desa Mutiara di sini pada malam Ahad.
Mayat S Parthiban, 28, ditemukan dalam Sungai Tebrau pada jarak 20 meter dari tempat dia mandi pada jam 11.24 malam oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Pegawai Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, mangsa pada mulanya bersama dua rakannya duduk di bawah jambatan tersebut.
“Tidak lama selepas itu, dua rakannya pulang dan mangsa mandi di bawah jambatan itu. Beberapa orang yang memancing dan menjala di bawah jambatan melihat mangsa berenang di kawasan tersebut.
“Namun apabila mangsa yang keluar rumah sejak pukul 10 pagi tidak pulang ke rumah, keluarganya bertanya kepada seorang pemancing yang kebetulan dari kawasan perumahan sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, pemancing berkenaan memaklumkan ahli keluarga mangsa bahawa lelaki itu masih mandi di bawah jambatan.
Menurutnya, keluarga mangsa yang risau kerana mangsa mempunyai penyakit sawan membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato’ Onn sebelum 12 anggota dari BBP Tebrau dan BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian kita mendapati baju, selipar dan motosikal mangsa masih berada di tebing sungai. Pasukan PPD melakukan kerja mencari dan menyelamat (SAR) di sungai itu pada kedalaman kira-kira empat meter.
“Kita membuat pencarian di sekitar kawasan sungai dengan menggunakan teknik surface searching dan mayat mangsa ditemukan dalam dasar sungai,” katanya.
Shamsul berkata, operasi SAR itu dibantu satu jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit utiliti Kembara serta Toyota Hilux.
Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan operasi tamat jam 3.17 pagi.