Lelaki Warga Myanmar Lemas Ketika Cari Kerang di Pantai Tanjung Selangor
Lelaki Warga Myanmar Lemas Ketika Cari Kerang di Pantai Tanjung Selangor
PEKAN – Aktiviti mencari kerang bersama rakan bertukar tragedi apabila seorang lelaki warga Myanmar ditemui lemas di Pantai Tanjung Selangor, Peramu, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.27 petang sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh 11 kilometer.
“Mangsa, dikenali sebagai Muhamad Arif bin Mohd Samsu, berusia lingkungan 20-an, dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti mencari kerang bersama empat rakan lain di kawasan pantai terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi jam 2.37 petang, pasukan bomba melancarkan operasi pencarian di sekitar pesisir pantai namun gagal menemui mangsa.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan yang terdiri daripada enam anggota turut dikerah ke lokasi bagi membantu pencarian,” katanya.
Tambah beliau, pada jam 4.15 petang, mangsa akhirnya berjaya ditemui pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.
“Mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan anggota polis sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Operasi mencari dan menyelamat diketuai oleh PBK I KUP Ahmad Sawaruddin bin Mohd Sarip selaku Komander Operasi dan turut bertindak sebagai Pegawai Keselamatan operasi.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan semasa melakukan sebarang aktiviti di kawasan perairan.-SAHIH