LELAKI WARGA EMAS DIJUMPAI MENINGGAL DUNIA DIPERCAYAI LEMAS DI JERAM BESU
LELAKI WARGA EMAS DIJUMPAI MENINGGAL DUNIA DIPERCAYAI LEMAS DI JERAM BESU
RAUB – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak 15 April lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di tepi sungai Kampung Batu Cincin, Benta, pagi tadi.
Mangsa, Mat Salleh bin Junoh, 63, yang bekerja sebagai penoreh getah, sebelum ini dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah di Perumahan Tat, Sega, di sini. Anak bongsunya, Saiful Naim, 18, menyedari kehilangan bapanya kira-kira jam 7.20 pagi selepas mendapati kenderaan jenis Toyota Ananza milik bapanya turut tiada di rumah.
Hasil pencarian membawa kepada penemuan kereta tersebut di kawasan parkir Pusat Rekreasi Jeram Besu, namun kelibat mangsa tidak kelihatan.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Dong sebelum operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) dilancarkan pada 17 April lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, Op SAR melibatkan seramai 51 orang termasuk pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), serta NGO dan penduduk kampung.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 10 pagi oleh pasukan SAR di tepi sungai Kampung Batu Cincin, kira-kira empat kilometer dari pusat kawalan operasi (PKTK) dan 20 meter dari tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi oleh pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk tindakan lanjut. Operasi SAR secara rasmi ditamatkan pada jam 12.45 tengah hari.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang menjala ikan ketika kejadian dan dihanyutkan arus deras. Kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Kawasan Jeram Besu sememangnya menjadi lokasi tumpuan pengunjung, namun insiden ini menjadi peringatan tentang bahaya air sungai ketika musim hujan atau air pasang.-SAHIH