LELAKI TULAR MAKI HAMUN PENIAGA NASI LEMAK DIDAKWA
LELAKI TULAR MAKI HAMUN PENIAGA NASI LEMAK DIDAKWA
Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang videonya tular di media sosial kerana memaki hamun dan memarahi penjual nasi lemak, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan perkataan kesat dan tidak memakai pelitup muka.
J. Shyamalan, 33, seorang ahli perniagaan, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Dia didakwa mengaibkan kehormatan penjual wanita berumur 23 tahun itu dengan mengeluarkan perkataan kesat dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam yang pertuduhan itu dikemukakan di bawah Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2021.
Sabit kesalahan dia boleh dihukum denda tidak melebihi RM50, 000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah kedai di Jalan Desa Bakti, Taman Desa di sini, pukul 10.30 pagi, 18 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala peguam John Das yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah, lapor KOSMO online.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Rakaman video yang tular di media sosial itu, memaparkan lelaki berkenaan memarahi dan memaki hamun peniaga nasi lemak dan seorang pelanggan lain ketika ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.