Lelaki tipu pakej perkahwinan ditahan polis Bentong
Lelaki tipu pakej perkahwinan ditahan polis Bentong.
BENTONG – Seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun yang dicari polis kerana terlibat dengan penipuan pakej perkahwinan berjaya ditahan polis pada jam 9.30 malam, semalam.
Lelaki tersebut ditahan di Hentian Plaza Tol Bentong menghala ke barat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek utama dalam kes itu melibatkan 3 kertsas siasatan yang disiasat di Bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sekiranya didapati bersalah, suspek dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun.
“Suspek ditahan reman selama 4 hari bermual 29 Oktober hingga 1 November,” katanya melalui kenyataan media.
Zaiham mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama masyarakat dalam kes ini kerana menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan.
“Ini jelas membuktikan masyarakat sentiasa membantu pihak polis dalam usaha mencegah jenayah,” katanya.
Sebelum itu, suspek yang bernama Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu (28) yang mengusahakan perniagaan pakej perkahwinan menerusi syarikat ‘The Wedding By Fiey’ menyasarkan pasangan yang ingin berkahwin di daerah itu dengan menawarkan set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.
“Polis mula mengesan suspek berkenaan setelah menerima aduan dua orang mangsa pada 24 Oktober 2022 (Isnin) lalu dan rugi sebanyak RM20,999.
“Ibu pengantin berusia 57 tahun dan pengantin berusia 28 tahun membuat laporan polis mengenai syarikat tersebut yang memperdayakan orang ramai dengan memaparkan iklan promosi pakej perkahwinan menerusi laman sosial Facebook,” katanya.-SAHIH.