Lelaki tempatan maut lengan tersepit mesin kilang getah
Foto atas : Kejadian tersepit di mesin. (gambar hiasan)
Lelaki tempatan maut lengan tersepit mesin kilang getah
JERANTUT – Seorang buruh lelaki tempatan berusia 39 tahun di sebuah kilang getah dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian apabila tangan kiri mangsa terputus sepenuhnya kerana tersangkut pada mesin memproses getah, pada jam 3.00 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerjanya dan tiba-tiba tangan kirinya termasuk dan terlekat pada mesin sehingga ke lengan.
“Anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Jerantut berjaya mengeluarkan mangsa daripada mesin dan didapati lengan tangan kiri mangsa terputus sepenuhnya.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.
Katanya, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Unit Forensik, Hospital Jerantut dapati punca kematian “Hypovolemic Shock Due To Industrial Injury” (Kehilangan darah yang banyak akibat kecederaan di tempat kerja).
“Jenazah disolatkan di Surau Perumahan Ibupejabat Polis Daerah Jerantut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mat Kilau, pada jam 12 tengah malam.
“Diharap orang ramai yang bekerja melibatkan mesin dan jentera berat sentiasa berhati-hati semasa melakukan kerja dengan mematuhi semua prosedur kerja dengan baik bagi menggelak daripada kemalangan,” katanya.-SAHIH.