Lelaki tembak isteri sebelum tembak diri sendiri kerana tidak beri wang jual tanah
Lelaki tembak isteri sebelum tembak diri sendiri kerana tidak beri wang jual tanah
JERANTUT – Pertelingkahan berkaitan pembahagian agihan hasil jual tanah mengakibatkan seorang lelaki menembak isterinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam kejadian di belakang rumah pasangan itu di Kampung Labu, kira-kira jam 8.30 pagi, hari ini.
Kejadian berlaku apabila pesara ranjer Pejabat Perhutanan Jerantut berusia 73 tahun menembak isterinya yang juga pesara Pejabat Perhutanan Jerantut berusia 67 tahun.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi dari ketua kampung tersebut dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
Katanya, maklumat diterima memaklumkan terdapat satu kejadian bunuh diri menggunakan senjata api di Kampung Labu.
“Jiran berdekatan rumah itu terdengar tembakan datang dari arah rumah pasangan itu dan pergi ke rumah itu dan kelihatan lelaki itu telah meninggal dunia di tempat kejadian sambil terduduk kerana cedera di bahagian leher sebelah kiri bersama dengannya selaras senapang patah bersamanya.
“Saksi (jiran) lain yang berdekatan rumah itu terdengar dua bunyi tembakan dan terdengar orang menjerit minta tolong di sebuah rumah bersebelahan Homestay Kampung Labu, ” katanya.
Katanya, saksi kejadian mendapati seorang wanita telah terbaring di bahagian belakang dapur dalam keadaan sedar sambil meminta tolong.
“Saksi menyatakan bahawa, wanita tersebut di dalam keadaan kesakitan dan berdarah di bahagian pinggang.
“Jiran itu membawa wanita tersebut ke dalam kereta dan terus ke Hospital Jerantut Pahang untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati, wanita itu meninggal dunia kerana mengalami kecederaan di bahagian belakang rusuk sebelah kiri.
“Punca pergaduhan tidak memberi agihan wang hasil jualan tanah dan menyebabkan tidak berpuas hati.
“Lelaki tersebut mempunyai lesen senjata api. Kes disiasat di bawah Sek 302 Kanun Keseksaan, Siasatan masih diteruskan dan post mortem akan di jalankan, “ katanya.-SAHIH.