LELAKI SEPARUH BOGEL SERANG WANITA
LELAKI SEPARUH BOGEL SERANG WANITA
KOTA BHARU: “Kami tak sangka lelaki itu boleh masuk ke kedai dengan melakukan perbuatan tidak senonoh selain bertindak cuba menerkam kami dan nasib baik sempat melarikan diri,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Ana, 32.
Ana adalah seorang daripada tiga wanita yang bekerja di sebuah kedai telefon di bandar ini, di sini, berhadapan detik cemas selepas diserang seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang hanya memakai baju-T tanpa seluar dalam kejadian jam 2.30 petang semalam.
Katanya, mereka mengenali lelaki itu yang pernah bekerja di kedai berdekatan dan tidak menyangka dia boleh bertindak sedemikian, walaupun pada awalnya sudah melihat lelaki berulang-alik tanpa memakai seluar di hadapan kedainya.
“Sebenarnya, kami sudah biasa dengan pelbagai ragam orang kurang siuman di kawasan ini, tidak kurang juga yang masuk ke kedai, namun mereka akan keluar jika diminta tanpa mengamuk atau melakukan sebarang tindakan membahayakan.
“Kali ini, apa yang terjadi benar-benar membuatkan saya dan dua lagi rakan kerja berusia 23 dan 25 tahun berasa trauma kerana suspek datang dengan tangan di bahagian sulitnya, selain bertindak menerkam kami.
“Tanpa berfikir panjang, saya dan tiga rakan memanjat cermin kaca untuk menyelamatkan diri, malah saya sendiri jatuh tersungkur namun tidak mengendahkannya kerana berasa takut,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kejadian itu tular sejak semalam di media sosial selepas video berdurasi satu minit 16 saat, menunjukkan seorang lelaki berbaju jingga tanpa memakai seluar sehingga menampakkan alat sulit cuba menyerang tiga wanita.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Ana berkata, atas nasihat majikannya juga, mereka bertiga membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu hari ini selain mengakui masih lagi trauma dan berasa takut dengan kejadian semalam.
“Kebetulan, ketika kejadian orang tak ramai, jadi kami tiada pilihan hanya mampu melarikan diri meminta pertolongan.
“Ada beberapa lelaki cuba menghalang lelaki itu, sebaliknya mereka pula dimarahi olehnya. Kami berharap kejadian sebegini tidak berlaku lagi, selain menjadikan ia sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati kelak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Hasil siasatan, suspek berusia 26 tahun mengalami masalah kemurungan sejak awal tahun ini dan beberapa kali mendapatkan rawatan, lapor BH Online.
“Kali terakhir suspek ditahan dan menerima rawatan pada 4 Februari lalu dan baru saja dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, suspek sudah ditahan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.