Lelaki Rugi RM183,000 Gara-Gara Terpedaya Tawaran Kerja Sampingan di TikTok
Lelaki Rugi RM183,000 Gara-Gara Terpedaya Tawaran Kerja Sampingan di TikTok
TEMERLOH – Seorang peniaga berputih mata apabila kerugian lebih RM183,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud yang diperkenalkan melalui aplikasi TikTok.
Mangsa yang berusia 30 tahun itu pada awalnya tertarik dengan skim yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi laman web “Global Solaris” sebelum diperdaya secara berperingkat oleh individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Bin Hassan berkata, pada peringkat awal mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM500 dan menerima keuntungan RM1,200, sekali gus menimbulkan kepercayaan terhadap skim berkenaan.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membeli setiap tempahan pelanggan dari laman web tersebut dan apabila mangsa gagal, suspek menawarkan bantuan untuk membeli, tetapi meminta mangsa membuat pembayaran semula.
“Akibatnya, mangsa terus membuat transaksi demi transaksi hingga terjerat lebih jauh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mazlan, mangsa turut diugut akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak mematuhi arahan suspek dan akibat tekanan itu, mangsa telah melakukan 24 transaksi pemindahan wang ke 10 akaun bank berbeza.
Siasatan mendapati wang kerugian adalah wang simpanan milik mangsa dan juga pinjaman daripada ahli keluarga.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja di media sosial yang kelihatan terlalu menarik.
“Tawaran kerja yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat kebiasaannya adalah satu penipuan. Buat semakan terlebih dahulu sebelum terlibat,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah jenayah komersial dan tindakan lanjut sedang dijalankan.-SAHIH