Lelaki Rentung, Rumah Musnah Dalam Kebakaran
Lelaki Rentung, Rumah Musnah Dalam Kebakaran
RAUB – Seorang lelaki ditemukan rentung selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Semantan, Cheroh, Raub, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa, Zahari Ibrahim, 50, dipercayai tinggal bersendirian sebelum mayatnya ditemukan oleh pasukan bomba yang bertungkus-lumus memadam kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.42 tengah malam sebelum 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub serta BBP Lipis bergegas ke lokasi dengan tiga jentera.
“Sebaik tiba, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal dengan kemusnahan 100 peratus.
“Ketika kerja-kerja pemadaman dijalankan, pasukan bomba menemukan seorang lelaki dewasa dalam keadaan rentung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula dari tangki pam jentera bomba bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dijalankan.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mangsa dikenali sebagai seorang lelaki pendiam dan jarang bergaul dengan masyarakat setempat.
“Kami tak sangka dia pergi dalam keadaan begini. Arwah memang jarang keluar rumah dan tinggal sendirian sejak beberapa tahun lalu,” katanya.-SAHIH