Lelaki pijak, sorok mayat budak dijel 8 tahun
Lelaki pijak, sorok mayat budak dijel 8 tahun
PUTRAJAYA – Perbuatan seorang penganggur menganiayai seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dengan menumbuk, memijak badan dan kepala serta menyorokkan mayat mangsa dalam tong ikan di Sungai Petani, Kedah pada 2016 berbalas selepas dihukum penjara lapan tahun
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah selepas Mohd. Affandi Fauzi Ramlee, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan di Mahkamah Rayuan di sini semalam.
Dalam penghakimannya, hakim Kamaludin berkata, berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak terlalu kejam kerana menganiaya kanak-kanak kecil itu sehingga tidak dapat dibayangkan penderitaan yang dialami mangsa.
“Walaupun, tertuduh mengaku bersalah, tetapi mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam, maka hukuman dikenakan bermula hari ini,” katanya.
Terdahulu, semasa prosiding, peguam Kee Wei Lon yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum tanpa denda kerana tertuduh telah menjalani hukuman penjara 60 bulan atas kesalahan mendera kakak mangsa yang ketika itu berusia empat tahun.
“Mohd Affandi kemudian dibebaskan pada 15 April 2020 dan masih belum mendapat sebarang pekerjaan. Pihak kami juga memohon agar mahkamah mengambil kira tempoh tahanan reman selama dua tahun tiga bulan ketika Mohd Affandi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bermula 24 November 2016,” katanya.
Dalam pada itu, Wei Lon ketika membuat rayuan hukuman turut berhujah, tertuduh tidak pernah diberi peluang untuk mengaku bersalah kerana tidak ditawarkan atas pertuduhan pilihan.
Menurutnya, tindakan tertuduh hadir sendiri ke mahkamah walaupun telah dilepas dan dibebaskan sebelum ini menunjukkan dia benar-benar insaf dan mengambil tanggungjawab atas kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman maksimum tanpa mengambil kira hukuman terdahulu kerana melibatkan mangsa yang berbeza.
“Banyak perbuatan (seperti) menendang, pukul dan pijak dilakukan sehingga akhirnya mangsa ditemui mati, malah tertuduh mempunyai rekod lampau kerana mendera kakak mangsa,” katanya.
Pada 6 Disember 2016, Mohd. Affandi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas dakwaan membunuh Muhammad Qhairullah Abd. Hadi, 2, di sebuah rumah di Flat Paya Nahu pada pukul 8 pagi, 27 Oktober hingga pukul 2 pagi, 24 November tahun sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Pada 26 Februari 2019, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah membebaskan tertuduh sebelum pihak pendakwaan membuat rayuan dengan meminda pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengikut pertuduhan pindahan, Mohd. Affandi didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada Muhammad Qhairullah, telah menganiayai kanak-kanak itu di lokasi dan tarikh sama, lapor kosmo online
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.