LELAKI PATAH PINGGANG TERJUN TINGKAT TIGA
LELAKI PATAH PINGGANG TERJUN TINGKAT TIGA
SEBERANG PERAI – Seorang penganggur nyaris maut selepas terjun dari ruangan tangga di tingkat tiga sebuah bangunan di Taman Seri Janggus, Alma, Bukit Mertajam di sini ketika cuba melarikan diri daripada polis hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, lelaki berusia 26 tahun tersebut bernasib baik apabila dia terjatuh di atas piring satelit televisyen di tingkat dua sebelum terhempas ke atas lantai di aras bawah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, suspek sebelum itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika polis pergi ke kawasan itu selepas menerima aduan berkaitan aktiviti penagihan dadah.
“Akibat kejadian itu, dia mengalami patah pinggang dan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam. Pemeriksaan fizikal terhadap suspek pula menjumpai empat plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 5.3 gram bernilai kira-kira RM530,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, suspek yang memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk enam berkaitan dadah itu bagaimanapun negatif ujian saringan air kencing, lapor KOSMO online.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.