Lelaki Orang Asli lemas di Tasik Bera ditemui
Lelaki Orang Asli lemas di Tasik Bera ditemui
BERA : Mayat seorang lelaki penduduk Orang Asli yang dipercayai lemas telah ditemui oleh pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin Temerloh di Pengkalan Putat di Tasik Bera, Kemayan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, anggota PPDA telah menemukan mayat mangsa, Sabri A/L Juaram berusia 49 tahun pada jam 10.05 pagi hari ini dalam jarak tiga kilometer dari tempat kejadian di Pengkalan Putat yang berlaku pada jam 6.30 petang semalam.
“Seramai lima orang anggota polis dan dua anggota bomba dengan menggunakan bot tiba di lokasi mayat ditemui pada jam 11 pagi dan kemudiannya membawa mangsa ke Pengkalan Kampung Putat untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera pada jam 11.45 pagi ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di sini hari ini.
Menurut Zulkiflee, mangsa merupakan penduduk Orang Asli bekerja sebaga penoreh getah bersama isterinya dan seorang anak ketika kejadian menaiki bot dalam perjalanan dari Pengkalan Kampung Putat ke Pengkalan Kampung Benal pada jam 6.30 petang semalam.
“Menerusi aduan isteri mangsa, Maziah A/P Ne, 42, tiba-tiba suaminya telah terjatuh daripada bot ke dalam Tasik Bera. dan dia bersama anak cuba mencari mangsa namun gagal ditemui. Isteri mangsa telah datang ke Balai Polis Kemayan untuk membuat laporan polis pada pukul 12.35 pagi,” katanya.
Zulkiflee berkata, dengan penemuan mayat Orang Asli itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari ini.
Katanya, operasi tersebut membabitkan seramai lapan anggota Polis Di Raja Malaysia, Bomba dan Penyelamat (9 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (6 anggota) dan penduduk setempat (8 orang) serta dibantu lapan buah bot agensi tersebut termasuk milik penduduk.-SAHIH.