LELAKI NYARIS MAUT, MYVI BERPUSING SEBELUM TERBABAS
LELAKI NYARIS MAUT, MYVI BERPUSING SEBELUM TERBABAS
MELAKA – Seorang pemuda ‘berselisih’ ajal selepas kereta Myvi dipandu berpusing beberapa kali sebelum merempuh pokok di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Taman Paya Rumput Indah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kria-kira pukul 8 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 21 tahun bagaimanapun mengalami kecederaan di kepala serta dada selepas tersepit di bahagian pemandu.
Seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Mah Salleh, 60, berkata, ketika kejadian dia dan suaminya sedang berniaga sarapan pagi di hadapan rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
“Kami nampak kereta dia (mangsa) berpusing, bukan sekali tetapi beberapa kali sebelum melanggar pokok di bahu jalan.
“Suami kemudian bergegas memanggil jiran untuk sama-sama membantu mangsa, manakala saya menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut dia berkata, mangsa pada awalnya dilihat tidak bergerak, namun apabila penduduk kampung mendekati kenderaan tersebut untuk memeriksa keadaanya, lelaki berkenaan akhirnya menunjukkan respon.
Tambahnya, kereta tersebut mungkin berpusing disebabkan keadaan jalan yang licin ekoran cuaca hujan sebelum kejadian.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penguasa Kanan Bomba (PBK) II Roslan Manas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.12 pagi sebelum tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, lapor KOSMO online.
“Setiba di lokasi, kita mendapati mangsa tersepit di bahagian pemandu dengan keadaan mengalami kecederaan di kepala dan dada.
“Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan pemotong hidraulik bagi merenggangkan pintu pemandu yang remuk untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.