LELAKI MAUT TERJUN TINGKAT 8 HOSPITAL
LELAKI MAUT TERJUN TINGKAT 8 HOSPITAL
Kluang: Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkap tandas wad 8B, tingkat lapan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mangsa, Lim Sweet Peng, 55, sebelum itu, memberitahu kakitangan bertugas untuk ke tandas sebelum bertindak mengunci dirinya sendiri dalam tandas berkenaan.
“Pada 3.45 petang hari ini, polis menerima makluman daripada anggota bertugas pondok Hospital Kluang mengatakan ada seorang lelaki terjun dari tingkap bilik air di wad 8B (hospital berkenaan).
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan Isnin lalu kerana menghidap masalah ulser usus dan menjalani pembedahan pada hari yang sama.
Katanya, hari ini mangsa meminta keluar wad dan pihak hospital memberi kebenaran mangsa keluar hospital pada sebelah petang.
“Sementara menunggu proses keluar wad, mangsa memberitahu hendak pergi tandas (di tingkat lapan hospital itu).
“Mangsa masuk ke tandas dan mengunci pintu dari dalam tandas serta memecahkan cermin tingkap tandas. Mangsa kemudian terjun (membunuh diri),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat si mati telah dibawa ke unit forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang.
“Permintaan bedah siasat dikeluarkan kepada pegawai perubatan untuk tentukan sebab kematian,” katanya, lapor HM online
Dalam pada itu, Low berkata, mangsa bukan pesakit Covid-19 dan punca sama ada mangsa mengalami masalah peribadi hingga nekad terjun sehingga kini masih dalam siasatan pihaknya.
Dalam pada itu, video dan gambar mangsa yang sudah terbaring dan diuruskan kakitangan hospital tular di laman sosial dan mendapat simpati masyarakat.