LELAKI MAUT LANGGAR BELAKANG LORI DI TOL KUALA DUNGUN
LELAKI MAUT LANGGAR BELAKANG LORI DI TOL KUALA DUNGUN
DUNGUN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori treler dan terbabas, di kilometer 357.5, Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun, Terengganu pada jam 9.40 pagi, semalam.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa yang dipercayai dipandu agak laju dikatakan cuba memotong lori treler yang membawa muatan kayu balak dan dipercayai melanggar bahagian belakang lori terbabit sehingga hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan.
Mangsa tercampak keluar dari kereta dan mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh sepasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi yang tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.-SAHIH.