LELAKI MAUT DALAM LUBANG SALURAN KUMBAHAN
LELAKI MAUT DALAM LUBANG SALURAN KUMBAHAN
BATU PAHAT – Seorang pekerja penyelenggaraan ditemui tidak sedarkan diri dalam lubang saluran kumbahan di sebuah pasar raya tempatnya bekerja pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa Yazali Yakub, 54, disahkan meninggal dunia ketika pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan.
Katanya, sebelum itu Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.20 malam yang memaklumkan seorang lelaki dijumpai tidak sedarkan diri dalam lubang saluran air kumbahan.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira empat meter,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ismail memberitahu, mayat di hantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, seramai sembilan anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender ( FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Batu Pahat terlibat dalam operasi mengeluarkan mangsa.