LELAKI MATI DITIKAM RAKAN MABUK
LELAKI MATI DITIKAM RAKAN MABUK
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki mabuk maut selepas ditikam beberapa kali oleh rakannya yang juga sedang mabuk di sebuah pangsapuri di Taman Desa Jawi, Nibong Tebal di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang merupakan pemandu lori berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB) kira-kira empat jam selepas kejadian itu berlaku di rumah suspek kira-kira pukul 3.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Lee Chong Chern berkata, kejadian tercetus selepas suspek berusia 27 tahun serta mangsa yang juga jirannya mahu pulang ke rumah selepas keluar minum dan mabuk.
Beliau berkata, isteri suspek berusia 23 tahun telah menegur suaminya agar tidak membuat bising.
Menurutnya, akibat teguran itu suspek memukul wanita itu di ruang tamu rumah sambil dilihat oleh mangsa dan seorang saksi iaitu wanita berusia 50 tahun yang menyewa bilik.
“Menurut saksi, dia nampak suspek memukul isterinya sebelum melihat suspek mengambil dua anaknya yang masih kecil dan membawa masuk ke dalam bilik, manakala mangsa turut berada di situ.
“Saksi itu terdengar bunyi bising (sekali lagi) sebelum dia keluar (bilik) dan nampak suspek telah menikam belakang badan mangsa dengan pisau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, saksi dan isteri suspek cuba menghalang, namun lelaki yang bekerja sebagai pengutip sawit itu terus menikam mangsa berkali-kali, bahkan sehingga terkena pada lengan saksi, lapor BH ONLINE.
“Mangsa yang cedera sempat meminta saksi menghubungi ambulans, namun dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB kira-kira pukul 7.15 pagi.
“Siasatan lanjut mendapati terdapat tujuh kesan tikaman pada badan mangsa, manakala polis merampas sebilah pisau berhulu warna oren sepanjang 25 sentimeter di tempat kejadian,” katanya lagi.
Menurut Chong Chern, suspek turut ditangkap selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.