LELAKI LEMAS DI TASIK CYBERJAYA
LELAKI LEMAS DI TASIK CYBERJAYA
CYBERJAYA: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Tasik Cyberjaya di sini tengah hari tadi.
Ketua Zon 5, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Abu Bakar Abd Kadir, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi, lapor FMT.
Berikutan itu sepasukan anggota bomba dari Balai Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat.
“Sehingga kini 35 anggota bomba termasuk enam penyelam sudah dikerah untuk membantu operasi mencari dan menyelamat pada jarak antara 20 meter hingga 30 meter dari tebing Tasik Cyberjaya yang menjadi lokasi mangsa dikatakan dilihat timbul kali terakhir oleh saksi.
“Menurut saksi dia ternampak seorang lelaki berusia 30-an dipercayai lemas dalam Tasik Cyberjaya yang mempunyai kedalaman antara 4 meter hingga 6 meter,” katanya ketika ditemui di Cyberjaya di sini sebentar tadi.
Seorang pekerja pembersihan yang dikenali sebagai Supiyani berkata beliau terkejut apabila mendengar jeritan orang meminta tolong berkali-kali ketika sedang bekerja di Taman Tasik Komuniti Cyberjaya.
Terkejut dengan jeritan itu, Supiyani kemudiannya meminta bantuan rakan-rakan.
“Seorang rakan lelaki cuba mendapatkan sampan di sebelah sana, tetapi dayungnya ada di dalam stor berkunci. Jadi usaha ke tasik memakan sedikit masa.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian lelaki itu kemudiannya hilang daripada pandangan. Tidak lama… Belum sempat sampan sampai ke lelaki itu, dia tenggelam,” katanya.
Supiyani, 38, yang berasal daripada Lombok, Indonesia berkata, dia sangat terkejut dengan kejadian tersebut.
“Sepanjang enam tahun bekerja di sini, tidak pernah berlaku kejadian seperti ini,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyedari lelaki berkenaan tiba di taman berkenaan.
“Pagi tadi saya tidak nampak sesiapa berada di sini, tidak tahu dari mana dia masuk,” katanya.