Lelaki Didakwa Lakukan Amang Seksual Fizikal Terhadap Kanak-Kanak
Lelaki Didakwa Lakukan Amang Seksual Fizikal Terhadap Kanak-Kanak
TEMERLOH – Seorang lelaki berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat jagaan anak yatim di daerah ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak itu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyuruh mangsa memegang kemaluannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8 malam pada 14 Ogos lalu di bangunan Pertubuhan Anak-Anak Yatim & Kebajikan Darul Izzah dan Baitul Maab, Jalan Teruk Ira, Temerloh.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Jamaludin Mat memutuskan tiada jaminan ditawarkan memandangkan kesalahan itu serius melibatkan kanak-kanak.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 September 2025 ini sebagai tarikh sebutan semula kes.-SAHIH
