LELAKI DIPERCAYAI LEMAS DIBAWA ARUS
DIPERCAYAI DIBAWA ARUS SUNGAI LINGGI
SEREMBAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas dipercayai dibawa arus Sungai Linggi di Taman Happy, Rasah dekat sini awal pagi tadi.
Memetik laporan K! Online, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan banjir kilat di Taman Happy, Rasah namun terdapat maklumat orang awam yang memaklumkan ada seorang lelaki dipercayai hanyut di Sungai Linggi.
“Pada mulanya, pihak bomba menerima maklumat banjir kilat dan semasa melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Linggi kami mendapat maklumat seorang penduduk Taman Happy yang tersangkut di atas pokok namun dapat diselamatkan oleh pihak bomba.
“Selepas itu, kami dimaklumkan, ada seorang lelaki dikhuatiri lemas di bawa arus di Sungai Linggi ketika banjir kilat pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Seramai 22 pegawai dan anggota termasuk 10 anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Teluk Kemang dan Balai Bomba Seremban 2.
“Operasi pencarian pada pagi, pihak bomba akan melakukan operasi SAR dibahagikan tiga sektor iaitu Mambau hingga Kuala Sawah melibatkan anggota dari (Balai Bomba Seremban 2), Kuala Sawah hingga ke Pekan Rantau (anggota dari Balai Bomba Rantau) dan melibatkan satu pasukan di Sungai Linggi (Balai Bomba Seremban).
“Setakat ini, kami masih juga menunggu pengesahan daripada pihak polis,” katanya sambil memaklumkan pihak bomba turut menurunkan dua aset kayak dalam operasi pencarian pagi ini.