LELAKI CEDERA PARAH KERETA TERJUNAM DALAM LONGKANG
LELAKI CEDERA PARAH KERETA TERJUNAM DALAM LONGKANG
MUAR – Seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar paip air, sebelum terjunam ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Sungai Abong, Pusat Perniagaan Mas Merah, di sini malam Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Jefri Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.53 tengah malam, sebelum satu jentera FRT, satu jentera EMRS dan tiga Unit RIM dari BBP Muar dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kita dapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta JenisToyota Camry yang dipandu mangsa, Lee Chun Loong, 32.
“Mangsa yang memandu berseorangan dipercayai terbabas lalu melanggar paip air dan terjunam ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa diselamatkan dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’ dan peralatan menyelamat ‘scoop stretcher, lapor KOSMO online.
“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian.
“Mangsa yang tersepit cedera parah dengan luka di bahagian dahi, tangan dan badan,” katanya.