LELAKI CEDERA KERETA REMPUH KEDAI MAKAN
LELAKI CEDERA KERETA REMPUH KEDAI MAKAN
PENDANG – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kedai makan di Jalan Titi Haji Idris di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika pemandu kereta jenis Honda Civic berusia 30 tahun terbabit dalam perjalanan dari arah Pendang menghala Langgar, Alor Setar dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Imran Izani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 8.12 pagi.
“Enam anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa yang telah dikeluarkan dari kereta hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke kedai makan yang tidak beroperasi kerana pemilik premis dikatakan berada di luar daerah, lapor KOSMO online.
“Rempuhan kuat menyebabkan dinding kedai makan berstrukturkan kayu dan papan itu pecah dan banyak barangan di dalam premis rosak.
“Kereta mangsa pula mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk rawatan,” ujarnya
Gambar media sosial