Lelaki Cabul Wanita di Bazar Ramadan Ditahan, Video Tular di TikTok
Lelaki Cabul Wanita di Bazar Ramadan Ditahan, Video Tular di TikTok
TEMERLOH – Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan selepas dipercayai mencabul beberapa wanita di tapak Bazar Ramadan Lurah Semantan, Temerloh. Kejadian itu menjadi perhatian ramai selepas video perlakuannya tular di media sosial TikTok.
Menurut laporan polis, kejadian pertama berlaku pada 6 Mac lalu, melibatkan seorang peniaga wanita berusia 26 tahun.
Dua lagi mangsa, seorang juruwang berusia 23 tahun dan seorang jurujual berusia 27 tahun, turut mengalami gangguan serupa pada 10 Mac.
Kesemua mereka membuat laporan polis selepas video kejadian tersebar luas di platform TikTok melalui akaun @zackRazBundle.
Suspek menggunakan taktik berjalan di kawasan bazar yang sesak sebelum secara sengaja melanggar badan mangsa, lalu menyentuh bahagian dada dan punggung mereka. Dia akhirnya ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Siasatan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes kecurian.
Malah, dia mengaku melakukan perbuatan itu kerana sudah lama tidak bersama wanita selepas disahkan menghidap HIV positif sejak 13 tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
Pihak polis menasihatkan pengunjung bazar supaya lebih berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan.
Kes masih dalam siasatan, dan suspek dijangka direman untuk tindakan lanjut.-SAHIH