LELAKI AMUK BUNUH BAKAL IBU MENTUA
KOTA MARUDU: Episod putus tunang seorang wanita berakhir tragedi apabila ibunya mati ditetak tunangnya sendiri dalam kejadian di Kampung Kuyuh, Pitas, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Habibah Abungon, 68, mati akibat kecederaan parah selepas diserang suspek bersenjatakan parang.
Difahamkan, selain ibunya yang maut, mangsa, adik dan bapanya yang berada di rumah itu turut mengalami kecederaan selepas diserang suspek berusia 29 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, suspek datang ke rumah tunangnya untuk mengajaknya balik ke kampung di Paitan.
Bagaimanapun katanya, wanita terbabit tidak menurut permintaannya dan memaklumkan mahu memutuskan pertunangan.
“Akibat itu, suspek bertindak agresif dan mengamuk dengan menggunakan parang.
“Antara yang cedera adalah tunang suspek sendiri bersama adik dan bapanya. Semua mangsa yang cedera berusia 24 hingga 65 tahun,” katanya ketika dihubungi, seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Mohd Izaan berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, mayat mangsa yang maut terlentang di bahagian dapur dengan kesan darah di atas lantai.
Katanya, semua mangsa yang cedera pula sudah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.