LELAKI 44 TAHUN DITAHAN, TERLIBAT KES CURI MASJID, CURI SAWIT DAN SAMUN
LELAKI 44 TAHUN DITAHAN, TERLIBAT KES CURI MASJID, CURI SAWIT DAN SAMUN
MARAN – Seorang lelaki Melayu berusia 44 tahun yang memiliki 19 rekod jenayah lampau akhirnya berjaya diberkas polis setelah dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran pada 19 Mac lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes curi dalam masjid dan curi sawit.
“Hasil tangkapan ini turut menyelesaikan lima kes jenayah membabitkan kes curi dalam masjid, curi sawit dan satu kes samun yang berlaku sejak November tahun lalu sehingga Februari 2025,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, antara rekod lampau suspek termasuk kes samun berkumpulan tanpa senjata, pecah rumah, curi motosikal, memiliki barang curi dan penyalahgunaan dadah.
Menariknya, penahanan suspek ini turut membantu pihak polis menyelesaikan satu kes samun yang berlaku di Pekan Awah pada tahun 2017. Dalam kejadian itu, seorang mangsa disamun dan kehilangan seutas gelang tangan, dua beg tangan berisi dokumen peribadi serta wang tunai berjumlah RM1,800.
Dalam operasi penahanan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah lori jenis Daihatsu Delta dengan nombor pendaftaran BCX 1456, dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 19 hingga 22 Mac 2025 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga aset berharga dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat strategik bagi mengelakkan jenayah.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Maran di talian 09-4771222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
“Polis dan masyarakat berpisah tiada,” tegas Wong.-SAHIH