Lebih Separuh Perwakilan PKR Tidak Mengundi, Isyarat Protes Terhadap Kepimpinan
Lebih Separuh Perwakilan PKR Tidak Mengundi, Isyarat Protes Terhadap Kepimpinan
KUALA LUMPUR 24 Mei – Proses pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan penyertaan yang amat rendah apabila lebih 50 peratus daripada jumlah perwakilan layak tidak mengambil bahagian dalam pengundian kali ini.
Daripada 32,030 perwakilan yang sepatutnya mengundi melalui kaedah fizikal dan dalam talian, hanya 13,669 orang tampil menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan parti.
Kenyataan itu didedahkan Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang menyifatkan perkara tersebut sebagai satu tamparan hebat kepada PKR, khususnya barisan kepimpinannya.
“Ini bukan angka biasa. Penurunan kadar penyertaan sehingga 57 peratus merupakan isyarat jelas bahawa wujud unsur boikot dalam kalangan perwakilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam keputusan rasmi jawatan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar memperoleh 9,803 undi, manakala penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli hanya meraih 3,866 undi.
Tambah beliau, situasi ini memberi bayangan bahawa terdapat defisit kepercayaan dalam kalangan ahli terhadap hala tuju dan kepimpinan PKR, sekali gus menjejaskan kekuatan parti reformasi itu menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau juga berpandangan bahawa keadaan tersebut memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mara lebih jauh, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Sementara itu, beliau turut menyeru ahli UMNO agar mencontohi keberanian ahli PKR yang berani menyatakan pendirian terhadap kepimpinan yang didakwa gagal menjunjung prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.
“Jangan sekadar menyokong membuta tuli. Keberanian menyuarakan pandangan perlu disemai dalam semua parti,” ujarnya.-SAHIH