Lebih Banyak Syarikat Penerbangan Akan Kembali Ke Pahang
Lebih Banyak Syarikat Penerbangan Akan Kembali Ke Pahang
KUANTAN – Kerajaan Pahang sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan komersil untuk kembali menawarkan operasi mereka di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Kuantan.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, buat masa ini hanya Malaysia Airlines dan Scoot Airlines beroperasi di lapangan terbang itu.
“Sebelum COVID-19, kita mempunyai tiga syarikat penerbangan komersil yang menawarkan operasi mereka di LTSAS dan kita sedang berbincang dengan mereka untuk membawa kembali perkhidmatan syarikat itu ke Pahang.
“Perbincangan awal sudah dilakukan dengan AirAsia, Firefly dan Malindo Air yang kini dijenamakan semula Batik Air, kita harap akan ada hasil positif melalui siri perbincangan itu,” katanya.
Yu Man berkata demikian kepada media selepas menyambut pelancong dari Singapura yang menggunakan Scoot Airlines di LTSAS, semalam.
Seramai 117 penumpang pesawat itu adalah kumpulan pertama pelancong dari Singapura ke Kuantan, Pahang menggunakan Scoot Airlines tahun ini.
Scoot Airlines yang menyediakan penerbangan dari Singapura – Kuantan dan Kuantan – Singapura memulakan kembali operasi mereka ke LTSAS sejak November tahun lalu.
Penerbangan yang beroperasi tiga kali seminggu – Rabu, Jumaat dan Ahad – berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Yu Man bagaimanapun memaklumkan mungkin berlaku sedikit kelewatan untuk mendapatkan persetujuan daripada syarikat penerbangan komersil lain bagi mereka kembali menawarkan penerbangan ke LTSAS.
“Kita juga faham syarikat ini (penerbangan) perlu membuat penilaian dan mengambil kira beberapa aspek sebelun kembali ke Kuantan.
“Cuma kita sedang cuba berbincang dengan mereka dan kita tunggu apa keputusan yang mereka buat,” katanya lagi.
Sementara itu, dia memaklumkan satu sesi lawatan khas oleh ejen pelancongan dan media dari Singapura akan berkunjung ke Pahang pada Jun ini.
Lawatan khas itu adalah bagi meningkatkan promosi dan memberikan maklumat lebih lengkap kepada mereka mengenai produk pelancongan yang ada di Pahang.
“Singapura adalah antara negara yang penting bagi sektor pelancongan di Pahang dan tahun lalu, seramai 116,200 pelancong dari negara jiran itu berkunjung ke Pahang.
“Kita harap melalui lawatan khas itu, lebih ramai (pelancong) akan memilih Pahang sebagai destinasi utama mereka,” katanya.
tamat-SAHIH